Tuesday, September 8, 2009

Al-Qur’an Pemberi Syafaat di Akhirat



“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Qur'an menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterang an yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Al-Baqarah: 185)




Alhamdulillah, sedar tidak sedar, kita sudah pun berada di pertengahan bulan Ramadhan yang penuh berkat dan kemuliaan. Sebagaimana yang kita ketahui, dalam bulan yang penuh dengan rahmat dan keampunan ini, telah terjadinya satu peristiwa yang penting dan bersejarah, iaitu turunnya ayat suci Al-Qur’an yang pertama dan kemudiannya secara berperingkat- peringkat kepada Rasulullah s.a.w yang kita kenali sebagai Nuzul Al-Qur’an. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Rasulullah s.a.w ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M. Perkataan "Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Turunnya kitab suci ini telah membawa cahaya perubahan kepada kehidupan manusia daripada kehidupan jahiliyyah dan sesat kepada kehidupan yang beriman dan mulia.




Al-Qur’an merupakan mukjizat Rasulullah s.a.w yang paling agung dan menjadi panduan kepada umat Islam sehingga ke hari ini. Al-Qur’an telah dijanjikan oleh Allah sebagai kitab yang terpelihara hingga ke hari kiamat. Tidak ada makhluk Allah yang dapat mencabar keagungannya dari segala segi mahupun menokok-tambah atau mengubah kandungan Al-Qur’an seperti dalam firman-Nya:




“Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Qur'an ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan sebanding dengannya walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.” (Al-Israa’: 88)




Islam menggalakkan umatnya supaya melazimkan diri membaca Al-Qur'an kerana membaca Al-Qur'an adalah amalan yang sangat mulia, lebih-lebih lagi dalam bulan yang mulia ini. Dengan amalan yang sedemikian, akan menambahkan lagi ganjaran dan rahmat Allah s.w.t serta mendapat syafaat (pertolongan) pada hari akhirat kelak, sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w maksudnya:




“Dari Abi Umamah Al-Bahili berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Bacalah oleh kamu Al-Qur'an kerana sesungguhnya Al-Qur'an itu akan datang pada Hari Kiamat memberi syafaat (pertolongan) kepada pembacanya”. (Riwayat Al-Imam Muslim)




Walau bagaimanapun, dengan pemodenan kehidupan yang berlaku setiap kali meningkatnya tahun, dekad, dan abad, dunia Islam semakin kekurangan jiwa-jiwa yang celik Al-Qur’an. Al-Qur’an hanya dibaca apabila tiba bulan Ramadhan dan kadang-kadang dalam majlis Khatamal Al-Qur’an ketika kenduri perkahwinan. Sangat sedikit yang membaca Al-Qur’an pada masa-masa yang lain; selepas setiap waktu solat, sebelum tidur, semasa menunggu bas, semasa menunggu kedatangan pensyarah, dan banyak lagi masa-masa terluang yang selalunya dibazirkan untuk perkara-perkara kurang bermanfaat.




Ke mana menghilangnya generasi Al-Qur’an? Yang siang dan malamnya dihiasi dengan taranum dan tadabbur Al-Furqan, masa-masa lapangnya digunakan untuk mengkaji Kalam Allah dan setiap saat dalam hatinya menghafaz ayat suci Kitabullah. Kebanyakan umat Islam kini yang mengaku Muslim tidak begitu menghayati Al-Qur’an berbanding buku-buku sejarah dan Sains nukilan karyawan Barat, sedangkan Al-Qur’an sejak turunnya telah mengisahkan pelbagai sejarah kehidupan manusia dan ilmu Sains yang akhirnya pada zaman ini diiktiraf oleh saintis-saintis Barat. Sebagai Muslim, sepatutnya Al-Qur’an itulah menjadi rujukan pertama sebelum buku-buku selainnya, tetapi pada zaman yang hampir kiamat ini, Al-Qur’an seakan-akan diletakkan di tempat keempat, kelima mahupun yang terakhir sebagai tempat rujukan. Manusia hampir terlupa bahawa antara tanda-tanda besar kiamat adalah hilangnya tulisan Al-Qur’an dari mashaf dan daripada hati umat Islam.




Oleh itu, sebagai hamba Allah yang tahu, sudah menjadi tanggungjawab kepada saudara seagama yang lain untuk mengajarkan Al-Qur’an dan hal-hal mengenainya. Ibu bapa mengajarkan anak-anak, abang dan kakak mengajarkan adik-adik, sahabat mengajarkan sahabat, pendek kata, yang tahu mengajarkan yang tidak tahu. Bagi yang tidak tahu membaca Al-Qur’an, adalah disarankan agar berusaha bersungguh-sungguh untuk mempelajarinya kerana pada masa ini banyak kemudahan yang telah disediakan, antaranya kelas-kelas Al-Qur'an di masjid-masjid, CD-CD belajar Al-Qur’an, dan sebagainya.




Sesungguhnya pahala dan berkat bukan hanya akan diperolehi oleh mereka yang membaca Al-Qur'an, tetapi juga akan diperolehi oleh orang yang mendengar bacaan Al-Qur'an. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-A'raaf ayat 204 maksudnya:




“Dan apabila Al-Qur'an itu dibacakan maka dengarlah akan dia serta diamlah supaya kamu beroleh rahmat”.




Maka, apabila Al-Qur'an dibacakan terutamanya di Majlis-majlis Peraduan Al-Qur'an, Tadarus Al-Qur'an, Khatam Al-Qur'an dan sebagainya, adalah elok kita diam dan mendengar bacaan Al-Qur'an agar kita dapat menghayati dan memahami maksud yang terkandung di dalamnya. Perbuatan sedemikian adalah dikira ibadat dan akan mendapat pahala dari Allah S.w.t.




Oleh itu, marilah kita bersama-sama merebut peluang untuk melipat-gandakan amalan dengan membaca dan menghayati Al-Qur’an, lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan ini. Semoga kita semua tergolong dalam orang-orang yang menerima syafaat, rahmat dan berkat daripada Allah s.w.t di dunia dan di akhirat. Amiin.

No comments: