Friday, July 3, 2009

Mengapa sering mempertikaikan keistimewaanmu ...?

Hari ini saya ingin menyentuh soal wanita.

Mutaakhir ini soal wanita rupa-rupanya hangat diperkatakan kembali. Ia berkait soal kesamarataan yang dibangkitkan oleh segelintir kaum Hawa yang menyangka diri mereka dipersisihkan atau dianaktirikan oleh masyarakat, sedangkan mereka merupakan penghuni terbesar dunia berbanding lelaki.

Di bawah kibaran panji-panji istilah kemajuan zaman dan persamaan hak, dengan semboyan kemerdekaan dan kebebasan, musuh-musuh Islam dari kalangan Yahudi dan Kristian serta sekutu-sekutunya giat membawa wanita Islam hanyut ke dalam banjir kesesatan, sehingga ia terlepas bebas dari batasan-batasan dan ketetapan Islam menjadi manusia liar yang tiada nilai dan mutu sebagai wanita Muslimah. Wanita-wanita Barat di dalam masa yang sama telah dipertonjolkan serta diperagakan dengan pelbagai tarikan dan kecantikan serta dijadikan ikon di dalam majalah-majalah, iklan dan televisyen agar dicemburui oleh wanita-wanita Islam. Semua ini dilakukan demi untuk menggoncang keyakinan wanita-wanita Islam yang selama ini berpegang kepada nilai-nilai agama kepada satu dimensi baru yang dipaparkan oleh wanita-wanita Barat itu.

Di tengah-tengah sorak sorai yang riuh gemuruh ini, di tengah-tengah gegap gempita tepuk tangan dan genderang kemajuan yang dikibarkan, pada saat kita menghadapi perjuangan semesta di waktu kita menghadapi pembangunan dan pembinaan masyarakat dan negara yang pincang ini, wanita Islam telah diserang dengan pelbagai tipu daya muslihat yang menggongcang keyakinan mereka. Ini adalah kerana, musuh-musuh Islam amat mengetahui bahawa wanita merupakan "Imadul bilad", iaitu tiang masyarakat dan negara yang menjadi eleman terpenting dalam pembentukan sesebuah generasi, yang kalau rapuh tiang itu maka rapuhlah seluruh dinding-dindang dan atapnya, dan kalau hanyut mereka dibawa ombak maka yang lain juga akan turut hanyut dan tenggelam bersama mereka .. maka musuh-musuh Islam dari dulu sehingga ke saat ini tidak pernah berehat dan memejamkan mata untuk mencari jalan meruntuhkan tiang-tiang masyarakat dan negara ini.

Hal ini pernah dinyatakan oleh Ustaz Jalal Al-'Alim di dalam bukunya ((Seruan Barat: Hancurkan Islam, Hapuskan Pemeluknya)) bahawa inilah diantara perancangan musuh-musuh Islam sepanjang zaman untuk menghancurkan Islam daripada menguasai muka bumi. (m.s 61-62)

Wahai anak-anak Ummahatul Mukminin,

Hakikatnya, negara kita dan negara-negara Islam yang lain sedang dilanda budaya suka meniru gaya hidup Barat dan tenggelam di dalamnya. Malah lebih dahsyat lagi, mereka cuba menipu diri sendiri dengan mengubahsuai hukum Islam agar sesuai dengan kehendak dan budaya Barat. Mereka mengeksploitasi sikap keterbukaan dan keanjalan agama ini semata-mata untuk mengubah hukum-hukum Islam. Mereka mengenepikan sama sekali landasan perundangan Islam dan kebanyakkan nas yang bercanggah dengan kehendak mereka di atas nama pembaharuan dan kebebasan.

Ketahuilah bahawa semua itu tersimpan kemusnahan. Mereka menyeru kepada suatu pembaharuan yang menyanggahi fitrah dan sunnatullah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT buat kaum wanita. Percayalah, kesamarataan dan kebebasan yang mereka perjuangkan selama ini ternyata telah menenggelamkan diri mereka ke dasar laut yang sukar untuk diselamatkan lagi kecuali dengan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Samada kita sedar atau tidak, kebebasan wanita yang sedang kita saksikan hari ini merupakan perhambaan di zaman moden. Anugerah kecantikan yang telah dianugerahkan kepada mereka sebenarnya telah dipergunakan oleh sesetengah pihak demi meraih keuntungan sendiri. Mereka diangkat dan dipuja-puja dengan kalimah-kalimah indah agar mereka terus tenggelam di dalam kehambaan, tetapi pada hakikatnya ... mereka sedang diperkotak-katikkan .

Sekali lagi saya katakan, saya amat percaya bahawa kesederhanaan merupakan prinsip asas Islam. Saya juga amat percaya bahawa Islam tidak pernah meminggirkan kaum Hawa dari pandangannya, apatah lagi Islam sebagai sebuah agama yang membawa cahaya dan petunjuk kepada manusia. Islam mengatur seluruh aspek urusan hidup manusia, malah Islam merupakan dasar dan sistem yang terbaik. Oleh itu, mana mungkin Islam mengabaikan golongan wanita sedangkan mereka adalah sebahagian daripada unsur-unsur kehidupan dunia. Maka yang demikian itu, marilah mendengar penjelasan Islam terlebih dahulu dan perhatikan apakah Islam yang menzalimi wanita, atau wanita yang sebenarnya sedang menconteng arang di wajahnya sendiri.

KESAMARATAAN LELAKI & WANITA MENURUT ISLAM

Islam mengangkat darjat wanita dan menjadikan wanita setaraf dengan lelaki dari segi hak dan tanggungjawab.

Hakikat ini tidak boleh dipertikaikan lagi.

Sejarah telah merekodkan bahawa sebelum kedatangan Islam, kaum wanita merupakan golongan yang diperhambakan oleh golongan lelaki yang sentiasa laparkan nafsu. Mereka tidak punya hak untuk memiliki harta, mendapatkan ilmu, tempat dan kedudukan di dalam masyarakat melainkan menjadi gundik-gundik jilatan lelaki durjana. Buktinya, Prof Arthur Cristian, seorang ahli Bahasa Timur di Universiti Kopenhagen yang merupakan pakar di dalam sejarah peradaban Parsi kuno pernah mengatakan, "Ahli-ahli sejarah Parsi yang hidup di zaman keluarga Sasanid seperti Jahtiyas dan lainnya, semuanya membenarkan adanya perkahwinan dengan orang-orang yang dilarang untuk dikahwini seperti yang pernah berlaku pada diri raja Bahram Goubin dan Joustasib. Kedua-duanya pernah berkahwin dengan orang-orang yang dilarang untuk dikahwini".

Perkahwinan ini tidak dianggap sebagai suatu hal yang dilarang di kalangan mereka, bahkan ia dianggap baik yang dapat mendekatkan diri mereka kepada Tuhan. Pelancong Cina bernama Huang Swing pernah mengatakan, "Orang-orang Parsi sering mengahwini semua wanita tanpa pengecualian". (Ruj: Abul Hasan Ali An-Nadwi, Maza Khasiral 'Alam BiInhitatil Muslimin, m.s 14-15)

Ajaran ini tidak jauh bezanya dengan ajaran Mazadak yang merupakan reaksi kebangkitan terhadap ajaran Maniy yang menyeru manusia untuk mengekang hawa nafsunya. Menurut ajaran ini, harta dan wanita harus dijaga dan dilindungi dengan sebaiknya. Namun kedua-dua unsur ini harus dinikmati bersama oleh setiap orang tanpa pengecualian sebagaimana api, air dan rumput.

Ajaran ini mendapat dokongan yang kuat dari golongan pemuda, bangsawan dan pemerintah. Pihak penguasa sendiri turut menyebarluaskan ajaran tersebut ke segenap penjuru negeri sehingga Parsi benar-benar dilanda oleh kerosakkan moral yang amat dahsyat, sehingga jika pengikut Mazadak ini memasuki rumah seseorang, si suami tidak berkuasa lagi untuk menahan gangguan pengikut Mazadak dari memperkosai isteri, harta dan seluruh isi rumahnya. Kesannya, dalam waktu yang singkat, ramai orang tidak mengenal ayah mereka yang sebenarnya. Begitu juga dengan ayah yang tidak tahu siapakah anak-anaknya disebabkan oleh kefahaman songsang yang melanda Parsi pada ketika itu. (Ruj: Ibid, m.s 16)

India juga turut dilanda oleh pencemaran sosial yang merosakkan. Semua ahli sejarah India telah sepakat bahawa mulai abad ke-6 Masehi, India mengalami keruntuhan moral agama dan masyarakat yang amat drastik sama seperti apa yang sedang berlaku di seluruh permukaan bumi lainnya. Namun India jauh lebih rosak dari negara-negara lainnya disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya disebabkan oleh banyaknya penyelewengan seks. Dapat dikatakan tidak ada satu agama pun di dunia ini yang lebih mendorong hawa nafsu seks melebihi daripada agama Hindu di India. Buku-buku yang beredar di India membicarakan tentang kisah-kisah cabul yang dilakukan oleh para Dewa dan Dewi tanpa rasa malu sedikitpun. Para ahli sejarah banyak menerangkan bahawa sebahagian kaum lelaki India ada yang menyembah alat kelamin wanita yang sedang telanjang dan kaum wanitanya pula ada juga yang menyembah alat kelamin kaum lelaki yang sedang telanjang. Lebih teruk dari itu, dewa-dewa yang diagung-agungkan sebagai manusia suci bagi agama India juga banyak yang merampas kesucian dewi-dewi dan pengunjung wanita yang datang ke kuil. (Ruj: Ibid, m.s 25-27).

Bahkan mengikut maklumat yang saya terima, budaya songsang sebegini masih wujud lagi pada hari ini di Syria yang dilakukan oleh golongan Darwish. Mereka juga diberikan penghormatan oleh penguasa dan pandangan-pandangan mereka amat dihormati. Oleh kerana itu, para ulama Syria telah memfatwakan haram terhadap pergerakkan mereka disebabkan oleh budaya songsang yang jelas bercanggah dengan agama.

Selain daripada itu, darjat wanita India di masa itu sangat merosot sehingga tiada nilainya di sisi masyarakat. Hal ini sama seperti yang dianggap oleh bangsa-bangsa Arab Jahiliah yang memandang hina terhadap kewujudan golongan wanita sehingga si bapa merasa tersangat malu jika anak yang dilahirkan oleh isterinya merupakan anak perempuan. Oleh itu, demi untuk menutup kemaluannya, si bapa dengan tanpa belas kasihan sanggup menanam anak perempuannya hidup-hidup agar dia tidak dipandang jelek oleh lelaki lain. Bahkan Ibn Abbas RA pernah mengatakan bahawa sebahagian orang Jahiliah Arab ada yang memaksa anak-anak perempuannya untuk berzina dengan orang lain untuk diambil upahnya. Qatadah RA juga pernah mengatakan bahawa di zaman Jahiliah, seorang lelaki yang kalah berjudi akan mempertaruhkan harta dan isteri-isterinya tanpa peri kemanusiaan. (Ruj: Ibid, m.s 37-38)

Di India juga begitu.

Ada kalanya seorang suami rela menyerahkan isterinya sebagai taruhan di medan judi. Seorang wanita juga boleh mempunyai suami lebih dari seorang. Wanita janda pula dianggap sebagai seorang yang tidak berharga lagi setelah kematian suami. Mereka tidak boleh berkahwin lagi dan mesti menjadi hamba di rumah bekas suaminya di mana mereka akan dihina dan diperkotak-katikkan . Untuk lari daripada keaiban ini, mereka tidak mempunyai jalan lain lagi melainkan membakar diri mereka bersama-sama dengan suaminya. Inilah cara terbaik untuk mereka mengelak daripada mendapat kehinaan dan siksaan batin yang berpanjangan. (Ruj: Ibid, m.s 31)

Inilah kedudukan wanita di sepanjang era kegelapan jahiliah. Bumi, binatang di lautan dan daratan, gunung-ganang dan tumbuh-tumbuhan semuanya meratap dan menitiskan air mata melihat wanita-wanita begitu sekali dipergunakan lebih rendah dari makhluk-makhluk ciptaan Allah yang lain.

Namun setelah datangnya Islam, sinar cahaya yang dulunya terperangkap dek tebalnya debu-debu kegelapan jahiliah mula terbit dan muncul menyinari alam. Awan dan langit kembali membiru. Tumbuh-tumbuhan kembali membungakan benih-benihnya. Binatang-binatang kembali bangkit melata di permukaan bumi. Bumi ceria dengan cahaya Islam yang menembusi setiap cakrawala. Wanita yang dulunya tersembam hina di tanah yang berdebu, kini berdiri megah dengan hak mereka yang sebelum ini telah dinafikan. Islam telah mengangkat darjat wanita dan meletakkan wanita sebagai saudara dan rakan kongsi dalam hidup lelaki.

Islam meletakkan premis bahawa lelaki tidak mampu hidup tanpa wanita dan wanita juga tidak berupaya hidup tanpa dokongan lelaki.

Islam mengiktiraf sepenuhnya hak-hak asasi wanita, hak-hak mereka dalam aspek kemasyarakatan dan politik. Islam melayani wanita sebagai manusia yang sempurna, manusia yang mempunyai hak dan tangungjawab. Jika tanggungjawab ini ditunaikan, mereka akan diberikan penghargaan di dunia mahupun di akhirat. Banyak nas-nas daripada al-Quran dan Hadis yang menyokong dan menjelaskan nilai ini seperti kesamarataan mereka dari segi asal usulnya, sifat kemanusiaannya secara umum, kesamarataan dalam mendapatkan taklif dan tanggungjawab Syariat, kesamarataan dalam mendapatkan balasan dan hukuman atas perbuatannya, kelayakkan dalam beragama dan memberikan penghambaan kepada Allah dan sebagainya. (Ruj: Dr. Amru Abd Karim, Qodhoyal Mar'ati fi Fiqhil Qaradhawi, m.s 63-78)

PERBEZAAN HAK LELAKI & PEREMPUAN BERDASARKAN FITRAH SEMULAJADINYA

Namun, Islam tidak menafikan bahawa di sana terdapat perbezaan hak diantara lelaki dan perempuan. Perbezaan tersebut berdasarkan kepada perbezaan fitrah semulajadi yang Allah SWT ciptakan buat mereka. Ia bukan untuk membeza-bezakan diantara keduanya .. mana yang lebih mulia, mana yang lebih disayangi oleh Allah dan mana pula yang lebih layak masuk syurga, tetapi hakikatnya ia bertujuan untuk memelihara hak-hak yang telah diberikan kepada kedua-dua jenis.

Islam membezakan antara lelaki dan wanita dalam banyak keadaan. Ini benar. Akan tetapi, walaupun Islam mengurangkan hak wanita dalam satu hal namun Islam telah menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik dalam hal yang lain seperti dalam harta pusaka. Islam memberikan kepada wanita separuh bahagian harta faraid daripada bahagian lelaki tetapi Islam telah mewajibkan lelaki menanggung nafkah hidup bagi isteri dan anak-anaknya di rumah.

"Dan kewajipan ayah memberikan makanan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang baik" (Al-Baqarah: 233)

Walaupun isteri bekerja dan mempunyai gaji yang tinggi, mereka tetap tidak berkewajipan untuk memberikan nafkah kepada suami dan anak-anak kerana Islam tidak pernah mewajibkannya kepada mereka.

Ketidaksamaan ini juga adalah demi menjaga kemaslahatan kaum wanita yang sifat semulajadi, emosi dan tubuhnya berbeza dengan lelaki. Justeru, apabila struktur tubuh berbeza, sudah tentu peranan juga berbeza. Dalam erti kata lain, Allah SWT menjadikan setiap kejadian itu sesuai dengan peranannya. Tiada satupun makhluk Allah SWT diciptakan dengan sia-sia tanpa sebarang tanggungjawab. Pokok dan dedaunan hijau punya peranannya yang tersendiri yang tidak boleh diambil alih oleh batu-batu di daratan dan sungai yang mengalir. Tanah punya peranannya yang tidak boleh dirampas tugasnya oleh air walau sebesar lautan. Binatang di hutan juga mempunyai fungsinya terhadap ekosistem alam dan begitu juga dengan golongan lelaki dan wanita. Bahkan jika ada usaha untuk mengubah fungsi-fungsi dan peranan yang ditetapkan ini, pasti dunia akan mengalami kegoncangan dan bencana.

"Apakah kamu tidak mengetahui bahawa kepada Allah bersujud apa yang ada di langit, di bumi, matahari, bulan, bintang, gunung, pohon-pohonan, binatang-binatang yang melata dan sebahagian besar daripada manusia? Dan banyak diantara manusia yang telah ditetapkan azab atasnya .." (Al-Hajj: 18)

Soal mengapa Islam mengawal ketat pergerakkan wanita melebihi daripada lelaki adalah disebabkan Islam memandang wanita adalah makhluk berharga yang sangat bernilai yang jika punah nilainya, maka punahlah seluruh esensi yang berada di sekelilingnya. Menggunakan kenyataan "Islam melarang" merupakan satu kenyataan yang salah terhadap Islam. Sebetulnya, Islam hanya "meletakkan sesuatu itu betul pada tempatnya" sesuai dengan peranan dan fitrah semulajadinya yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Justeru itu, janganlah terperangkap dengan seruan sesetengah golongan yang cuba menyeru ke arah pembaharuan Islam kononnya hukum-hukum Islam yang berjalan di sekitar kita pada hari ini zamannya sudah pun berlalu dan kini ia perlu diperbaharui agar lebih segar dan semasa dengan perkembangan politik yang lebih mencabar. Sesungguhnya semua dakwaan ini merupakan tipu daya mereka untuk menimbulkan keraguan kita terhadap agama dan inilah sebenarnya hasrat musuh-musuh Islam untuk menjauhkan kita daripada Islam. Dalam sebuah buku hasil persidangan pekerja-pekerja gerakan missionari Kristian telah menyebutkan, "Orang-orang Islam mendakwa bahawa agama Islam menyahut semua tuntutan sosial manusia. Maka kita pula berkewajipan menentang Islam dengan kekuatan senjata, permikiran dan spiritual". (Ruj: Seruan Barat: Hapuskan Islam, Hancurkan Pemeluknya, m.s 59).

Kesimpulannya, jika tanggungjawab ini dilaksanakan mengikut acuannya, nescaya seluruh manusia akan berjaya menikmati kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Tetapi malangnya, mengapa ramai wanita hari ini kabur dan tidak jelas akan hak dan keistimewaannya?
"Islam Memimpin Perubahan"

No comments: