Cuba imbau kembali masa lalu samada baru sebentar tadi atau yang telah lama berlalu, pernah tak terpacul daripada mulut atau terdetik di hati kita 'aku lebih baik' dengan makna kita lebih baik, lebih bagus, lebih segala-galanya serta meremeh dan merendahkan orang lain. Tentu pernah kan? Itu adalah hasil daripada sifat takabbur atau sombong yang telah berkudis di dalam hati dan jiwa kita. Takabbur atau sombong dalam erti kata yang sebenar adalah menolak kebenaran dan meremehkan serta merendahkan manusia. Untuk apa kita bersikap sombong? Tidak sedarkah diri kita cuma hamba yang diciptakan hanya untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.
Allah amat murka jika ada makhluk yang bersifat takabbur kerana sifat tersebut tidak layak bagi makhluk. Kisah sang Iblis secara jelas menunjukkan sifat takabbur dengan mengingkari serta enggan untuk sujud kepada Adam a.s.
Punca keengganan Iblis untuk sujud kepada Adam a.s adalah kerana menyangka ia lebih baik daripada Adam a.s sebagaimana digambarkan oleh Allah dalam surah Al A'raf ayat 12 yang bermaksud "Allah berfirman: 'apakah yang menghalangmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?' Iblis menjawab: 'aku lebih baik daripada Adam, Engkau jadikan aku daripada api, sedang dia Engkau jadikan daripada tanah".
Lihat saja kini berbagai-bagai ragam manusia sombong, orang kaya sombong berjalan dengan megah dan berbangga dengan kekayaan yang dimilikinya, pemerintah seperti UMNO-BN juga sombong dengan keengganan menerima cara yang digariskan oleh Islam dalam mentadbir negara dan setiap lapisan masyarakat punya cara tersendiri dalam bersikap sombong. Golongan yang paling teruk dan paling rugi adalah orang yang miskin dan bodoh tetapi bersikap sombong.
Paling mengaibkan adalah para agamawan, pendakwah dan aktivis Islam yang bersikap sombong kerana sikap sombong tersebut menjadi fitnah kepada Islam dan menjadi penghalang bagi orang-orang yang cuba mendekati Islam. Sebetulnya bagi agamawan, pendokong Islam, pendakwah, aktivis Islam dan seluruh umat Islam bersifat tawadhuk atau merendah diri kerana sifat tawadhuk adalah sangat mulia disisi Islam dan dipandang mulia di mata masyarakat.
Iman Al-Ghazali menyimpulkan ada tujuh cara untuk mengenali seseorang yang sedang dan sudah menghidap penyakit hati yang merbahaya ini pertama, kelebihan seseorang kerana pengetahuan ilmunya, baik ilmu dunia atau ilmu akhirat. Apabila ilmu sudah penuh di dada dia menganggap semua orang lain jahil belaka, semua orang buta dan jika ada pandangan yang bernas tetapi tidak diterimanya. Keduanya kerana kelebihan beribadat seseorang. Penyakit orang ahli abid yang merasa diri mereka terlalu banyak beribadat berbanding dengan orang lain sehingga menganggap orang lain tidak mampu beribadat seperti mereka.
Perkara ketiga yang membuatkan kita sombong ialah kerana ego memperkasakan keturunan, bangga kita berketurunan mulia lagi bangsawan, suka menyebut nama datuk nenek moyang kita yang dulunya dikatakan keramat atau hebat. Perkara keempat menjadikan kita beroleh sombong ialah kerana berasa diri cantik dan sempurna malah memandang orang lain dengan hina, seperti merendah-rendah ciptaan Allah hingga sanggup menyindir atau memberi gelaran tidak baik seperti pendek, berkulit hitam atau gemuk. Sifat sombong kelima berpunca daripada kelebihan harta diberi Allah membuat kita lupa daratan, berbangga dengan kekayaan yang ada, rumah besar, kereta mewah hingga memandang rendah orang yang kurang berada.
Keenam, sombong kerana kekuatan dan kegagahan diri. Semua orang akan dibuli kerana kuatnya badan kita tidak terperi, hingga boleh memakan kaca seperti mengunyah. Boleh menarik bas dan lori hanya dengan gigi. Boleh dihempap badan dengan batu dan besi. Akhirnya yang ketujuh kata Imam Ghazali, ialah sombong dan berbangga kerana ramainya pengikut setia di belakang diri, sepertinya orang alim berbangga dengan ramainya murid yang memuji. Guru silat pula berbangga dengan ramainya murid yang tidak lut ditetak dan dijilat api.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: " tidak akan masuk syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya sekalipun seberat biji sawi daripada sifat takabbur".
Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud: "orang yang sombong, keras kepala dan takbur, akan dikumpulkan pada hari kiamat, dalam bentuk semut yang kecil, yang dipijak mereka oleh manusia, kerana hinanya mereka pada Allah."” (Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dari Abu Hurairah)
No comments:
Post a Comment